Tuesday, March 8, 2011

TAMAN KEKAL PENGELUARAN MAKANAN TAWAU


TAWAU: Kerajaan tidak teragak-agak membatalkan kontrak peserta Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tawau jika mereka masih gagal
mengusahakan tanaman di tapak yang diberi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin berkata, beliau kesal kerana 30 peratus daripada 56 peserta yang sudah dipilih menjayakan projek itu masih membiarkan tanah mereka dipenuhi belukar.





“Saya tidak berpuas hati melihat projek ini. Saya berharap mereka (peserta) mengubah sikap. Jika mereka masih gagal memanfaatkan peluang yang diberi, kita akan batalkan kontrak mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Yahya memuji peserta-peserta yang komited mengusahakan aktiviti penanaman di tapak yang diberi sehingga ada di antara mereka yang sudah pun menerima hasil masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke Projek TKPM Tawau seluas 93.6 hektar, di Batu 15 Jalan Apas di sini.

Dalam pada itu, Yahya berkata, objektif Projek TKPM ialah untuk mewujudkan zon kekal pengeluaran makanan dan meningkatkan pengeluaran makanan secara mapan dan berkualiti.

Ia juga jelasnya turut bertujuan untuk membangun dan meningkatkan penglibatan usahawan dan syarikat di dalam bidang pengeluaran makanan secara komersil serta pemasaran.

‘Di Sabah, nilai import kita lebih tinggi daripada nilai eksport. Eksport RM 800 juta manakala import pula RM 2 billion. Ini tidak baik untuk ekonomi negeri dan itulah sebabnya TKPM diperkenalkan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga bercadang membuka projek yang sama di beberapa tempat lain di negeri ini dan permohonan sudah pun dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk kelulusan.

Dalam lawatan tersebut, Yahya turut berkesempatan meninjau beberapa tanaman yang sudah diusahakan di tapak terbabit seperti tanaman pisang, tembikai dan betik.

Turut serta ialah dua Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Bobby Suan dan Datuk Musbah Jamli, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Datuk Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur dan pegawai-pegawai dari agensi-agensi berkaitan.

0 comments:

Post a Comment